Wednesday, August 11, 2010

Tazkirah Ramadhan

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan Karim..

Ramadhan akan menjelma esok, kedatangannya membawa
seribu rahmat untuk orang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi
keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang
bertakwa.

'Ya Allah, berkatilah kami dibulan Sya'ban ini dan sampaikanlah kami
di bulan Ramadhan al-Mubarak.'


Sudahkah sahabat persiapkan diri dan hati untuk menyambut kedatangan Ramadhan?
Adakah sahabat merasa gembira atau resah bila kehadiran Ramadhan?
Nabi s.a.w ada menyatakan sesiapa yang merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan ia dijauhkan dari api Neraka.

Tanda orang Mukmin itu, hatinya terpaut pada Ramadhan, jiwa dan perasaannya seronok dan bergembira kerana di bulan inilah ia dapat mempertingkatkan iman dan takwanya kepada Allah s.w.t.,
dilipatkan-gandakan pahala dan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai orang Mukmin kita perlu membuat tiga persiapan penting sebelum kedatangan Ramadhan :

Pertama : Persiapan ilmu tentang Ramadhan.
Membuka kitab mengenai adab-adab puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa.Dan amalan-amalan yang perlu dilaksanakan semasa berpuasa.

Syarat Sah Puasa ialah :

1. Islam, tidak sah puasa orang kafir

2. Berakal yang bermaksud mumayyiz, tidak sah puasa orang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak memiliki niat. Puasa kanak-kanak yang sudah mumayyiz adalah sah. Apabila usianya mencapai 7 tahun, dia hendaklah diminta supaya berpuasa jika dia mampu melaksanakanya. Apabila usianya mencapai 10 tahun, dia hendaklah dipukul kerana meninggalkanya sebagaimana sembahyang.

3. Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti berada dalam keadaan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud : “Di angkat qalam (tulisan amalan) daripada tiga jenis manusia : daripada orang tidur sehingga dia bangun, daripada kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan
daripada orang gila sehinggalah dia berakal“.

(Hadis Riwayat Abu Daud dan selainnya).

Kedua : Persiapan hati dan jiwa

Di akhir bulan Sya'ban ini perlulah kita membuat persiapan hati dan jiwa kita untuk memohon keampunan kepada Allah di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelum ini. Kita merintih dan mengharap belas kasih daripada Allah s.w.t. supaya mengampunkan dosa-dosa kita hingga berlinang air mata.

Imam al-Ghazali berkata, "Orang yang bijak adalah mereka yg merintih dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t sebelum datangnya Ramadhan"

Kita juga perlu meminta maaf kepada ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, jiran tetangga, sahabat-sahabat, rakan-rakan dan sesiapa saja yang telah kita melakukan dosa kepada mereka.

Pesanan Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. ketika hadirnya Ramadhan:

"Jangan tinggalkan bermohon maaf dengan tiga golongan ketika hadirnya Ramadhan :

Pertama : Mohon maaf dari kedua ibu bapamu.
Kedua : Mohon maaf sesama suami dan isteri.
Ketiga : Mohon maaf daripada keluarga, sahabat handai dan mereka berada disekelilingmu"

Diharapkan masuk saja kita dibulan Ramadhan kita telah bersih dari dosa-dosa besar dan kecil, semoga keberkatan Ramadhan dapat kita miliki sepenuhnya.

Ketiga : Ikhlaskan hati kita kepada Allah s.w.t.

Ikhlaskan hati kita kepada Allah s.w.t bahawa kita berazam menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik yang akan kita laksanakan daripada Ramadhan sebelumnya semoga memiliki TAKWA di akhir Ramadhan dengan keazaman :

1. Membaca al-Qur'an 30 juzuk termasuk memahami maknanya.
2..Melaksanakan solat berjemaah 5 waktu di masjid atau surau secara berjemaah.
3. Melaksanakan solat terawih di masjid atau surau secara berjemaah termasuk witir.
4. Mengikuti tazkirah Ramadhan.
5. Tidak meninggalkan solat sunat Dhuha.
6. Memperbanyakkan sedekah
7. Sentiasa berwudhu'
8. Melaksanakan solat sunat Tahajjud.
9. Memperbanyakkan berdo'a siang dan malam.
10. Meninggalkan semua perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa.
11. Menambahkan amalan-amalan sunat di sepanjang bulan Ramadhan membaca al-Quran samaada siang atau malam dan amalan sunat yang lain

Sahabat yang dihormati,
Takwa adalah kekuatan dalaman anugerah Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadah semata-mata mencari keredhaan-Nya, semakin tinggi takwa kita, maka semakin hampir dan mulia kita di sisi Allah s.w.t.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Solat yang lima, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) di jauhi dosa-dosa besar."

Jadikanlah madrasah Ramadhan ini untuk kita bersihkan hati dari dosa-dosa dan jinakkanlah nafsu yang liar supaya ia mengikut arahan iman, berlapar penting untuk menjinakkan nafsu.

Apabila puasa mengikut sunnah Nabi, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim akan lebih teliti dalam tindak tanduknya. Apabila sahabat berpuasa, puasalah segala-galanya;

Berpuasa pada perut ialah tidak makan dan minum,
Berpuasa pada lidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat,
Berpuasa pada telinga ialah tidak mendengar muzik yang melalaikan,
Berpuasa pada mata ialah tidak memandang perkara yang boleh memabawa kepada dosa
Berpuasa pada kaki dengan tidak menuju ke tempat maksiat dan sia-sia.

Jagalah masa, tinggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Bila dimarahi, bersabarlah dan katakanlah 'saya sedang berpuasa' Gunakanlah masa untuk membaca al-Qur'an, berzikir, berselawat,
solat-solat sunat. Tambahkanlah ilmu dengan membaca hadis, tafsir al-Qur'an. buku-buku
ulama' muktabar dan hadirilah mana-mana majlis ilmu yang bermanfaat.

Sahabat,
Banyakkanlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah, kerjakanlah solat tarawih sepenuhnya termasuk solat sunat witir. Janganlah saudara merasa beban dengan ibadah sunat, kerana sesungguhnya satu amalan sunat yang di kerjakan akan mendapat pahala satu amalan fardu, dan satu amalan fardu akan digandakan Allah s.w.t kepada 70 kali ganda. Inilah rahmat Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya, di bulan yang mulia
ini.

Sahabat,
Intai-intailah malam lailatul qadar kerana di malam ini amalan kita lebih baik dari seribu bulan.

Oleh itu janganlah di sia-siakan 10 malam terakhir, asingkanlah diri dan beriktikaf di masjid untuk menumpukan ibadahmu kepada Allah, semoga Ramadhan tahun ini kita akan bertemu lailatul qadar, ketika kedatangannya kita sedang berdo'a dan bermunajat.

Sahabat,
Ingatlah, orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi 'orang baru' kerana berjaya membuang segala kelemahan diri. Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan, nescaya umatku berangan-angan setahun itu kesemuanya Ramadhan."

Akhir kata, mulai sekarang, marilah kita sama-sama membuat persiapan serapi mungkin. Mungkin kita boleh membuat jadual harian sebulan penuh apakah bentuk amalan dan ibadah yang akan dilaksanakan. Anggaplah Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terbaik yang akan kita laksanakan dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t


Allahu'alam..

0 comments: